
Silat Randai Minang namanya agak asing di kalangan masyarakat kita tetapi ia telah lama bertapak di sini. Seni Silat Randai ini sebenarnya adalah satu permainan tradisional yang telah wujud beberapa dekad yang lalu di rumah gadang Tanah Minang Sumatera, Indonesia.
Pada awal tahun 20an dulu, Silat Randai mula di bawa ke Tanah Melayu (MALAYSIA) oleh perantau – perantau Indonesia. Manakala dalam tahun 40an pula, silat randai mula mengembangkan sayapnya ke beberapa tempat di tanah melayu tetapi ia tidak dapat bertahan lama dan perkembangannya mula tenggelam timbul untuk beberapa dekad.
Kewujudan kembali Seni Silat Randai Minang adalah dengan berkat usaha gigih beberapa orang anak muda yang telah memujuk Guru Muda Randai Minang, iaitu Pak Guru Nordin b. Mohd. Daya agar kembali membuka gelanggang yang berpusat di kampung Palimbayan, Sungai Penchala (1999). Dan buat setakat ini, selain daripada gelanggang pusat terdapat 2 cawangan yang di buka iaitu cawangan di Damansara Utama dan cawangan di Sri Damansara. Walaupun nama dihujungnya minang, ia bukannya khas untuk masyarakat minang sahaja tetapi kini ia di boleh diwarisi oleh sesiapa sahaja yang berminat tidak mengira agama dan bangsa. Atas usaha dan kerjasama pemuda – pemudi kampung berkenaan, kini silat randai minang mula mendapat sambutan dari penduduk setempat sehingga kini seramai 150 orang telah menyertai pertubuhan ini. Untuk mendalami ilmu persilatan Randai, bagi peringkat asas ia akan memakan masa selama 6 ke 8 bulan lamanya. Tetapi bagi memantapkan diri, kemahiran perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa dan ia mampu mangambil masa yang agak lama.